SANDAKAN – Empat kenderaan remuk selepas jalan raya konkrit yang dilalui runtuh di Kampung Prosperous, Sibuga di sini hari ini.
Keempat-empat kenderaan itu dalam perjalanan menuju ke majlis perkahwinan di kampung berkenaan apabila bahagian jalan yang dilalui mereka runtuh, bagaimanapun semua pemandu dan penumpang kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Assistan Komissioner Mohd Azhar Hamin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, keempat-empat kenderaan dalam perjalanan dari arah Gereja Basel Jalan Lintas Sibuga menuju ke rumah pengantin lelaki di kampung itu.
Katanya, semasa berbaris melalui jalan di sebelah kiri, tiba-tiba bahagian jalan itu runtuh menyebabkan keempat-empat kenderaan tersebut terjatuh ke bawah anak bukit.
“Siasatan mendapati, jalan persendirian yang dibina di kampung itu sudah terlalu lama dan rapuh menyebabkannya tak dapat menampung berat kenderaan yang lalu,” katanya. – Bernama