KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menganjurkan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 bagi membincangkan isu-isu keselamatan antarabangsa Januari ini.
Seramai 20 menteri dan timbalan menteri dari 20 negara dijangka membentangkan pernyataan negara masing-masing bermula 5 hingga 6 Januari bertempat di di Putrajaya.
Menerusi kenyataan KDN, negara yang akan terlibat dalam dialog yang bertajuk ‘Kebijaksanaan dan Kesederhanaan Dalam Membanteras Keganasan’ 5 Januari ini adalah Arab Saudi, Australia, Britain, Perancis dan Indonesia.
Dialog antarabangsa tersebut bertujuan untuk mempromosi Malaysia sebagai sebuah negara yang membanteras keganasan dan ideologi ekstremisme.
Topik yang bakal disentuh adalah tema Islam sebagai wadah kesederhanaan dan keselamatan; Bersama menentang keganasan; Peranan agama dalam menyemai nilai kesederhanaan serta Membanteras keganasan secara kebijaksanaan dan kemanusiaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri dijadualkan menyampaikan ucap tama di hari kedua dialog iaitu 6 Januari.
Dijangkakan 1,000 peserta tempatan dan luar negara ,membabitkan pegawai kanan kedutaan dan pesuruhjaya tinggi luar negara di Kuala Lumpur, NGO, ahli akademik, pegawai kanan kerajaan dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini.
PISD dianjurkan KDN dengan kerjasama Rabitah Al-Alami Al-lslami (Liga Muslim Dunia), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Arab Saudi.- MalaysiaGazette