Home Nasional Tiada kelulusan DCA bagi aktiviti Seaplane@Putrajaya – KP

Tiada kelulusan DCA bagi aktiviti Seaplane@Putrajaya – KP

Azharuddin Abdul Rahman
Datuk Azharuddin Abdul Rahman

PUTRAJAYA – Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini menyatakan pihaknya tidak mengeluarkan Sijil Operator Udara (AOC) kepada mana-mana organisasi untuk menganjurkan aktiviti SeaPlane@Putrajaya di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu pada Januari.

Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, AOC yang dikeluarkan oleh ketua pengarah DCA merupakan syarat bagi mana-mana operasi pesawat melibatkan pengangkutan penumpang bagi sewaan atau ganjaran.

“Oleh kerana Putrajaya menempatkan pejabat kerajaan dan kawasan perumahan, DCA berpendapat keselamatan awam adalah amat penting dan satu keutamaan.

“Orang ramai dinasihatkan membuat pemeriksaan dengan DCA sebelum terbabit dalam aktiviti itu. Ini sebagai langkah berhati-hati dan keselamatan untuk mengelakkan daripada sebarang isu yang mungkin timbul,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azharuddin mengulas iklan SeaPlane@Putrajaya yang sedang tersebar dalam media sosial, mempromosikan aktiviti itu dijadual diadakan di Putrajaya Recreational Airfield, Presint 6 pada 20 Januari tahun depan. – Bernama