Home Nasional 2 beranak berdepan hukuman gantung kes edar dadah

2 beranak berdepan hukuman gantung kes edar dadah

BALIK PULAU – Dua beranak serta seorang rakan mereka didakwa di Mahkamah Majistret di sini pagi ini atas kesalahan mengedar sebanyak 419 kilogram (kg) pil Eramin 5 di sebuah syarikat ejen kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas dekat sini, tiga minggu lalu.

Tertuduh, Rushdi Ismail, 47; anaknya, Muhammad Wafiy Ikhwan, 18, serta rakan lelaki, Razis Md. Yusoff, 34, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majisret Nur Fadrina Zulkhairi.

Kesemua mereka yang bekerja sebagai ejen penghantaran didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua beranak berkenaan yang diwakili peguam S. N. Rajan manakala Razis tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan Penolong Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri, Abdul Malik Awang Kechik.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengedar dadah jenis Eramin 5 seberat 419,152 gram itu di Kompleks Kargo MAS LTAPP, Bayan Lepas kira-kira pukul 9 pagi pada 17 Disember lalu.

Mahkamah kemudiannya tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula.

Pada 27 Disember lalu, JKDM negeri mendedahkan kejayaan mematahkan cubaan menyeludup dadah terbesar di negeri ini tahun ini apabila merampas sebanyak 1.54 juta biji pil Eramin 5 bernilai RM23 juta di LTAPP yang dipercayai cuba diseludup dari Taipei.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata, dadah yang dibawa menggunakan penerbangan China Airlines itu tiba di Zon Perdagangan Bebas Kargo MAS LTAPP pada 14 Disember lalu dan diikrarkan sebagai peralatan mekanikal.

Ujar beliau, pihaknya melakukan intipan selama tiga hari selepas curiga dengan kandungan peralatan mekanikal itu yang dibungkus di dalam 12 buah kotak dan diletakkan di atas dua palet.- MalaysiaGazette