PUTRAJAYA- Sistem e-Perolehan Kementerian Kewangan mencatatkan 10.4 juta transaksi bernilai RM115.8 bilion sejak ia ditubuhkan 17 tahun lalu.
Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Siti Zauyah Md. Esa berkata, prestasi sistem tersebut amat memuaskan dan ia digunakan untuk mengukur indeks petunjuk prestasi setiap kementerian dan agensi kerajaan.
“Sistem e-Perolehan sedia ada adalah berasaskan pasaran Government to Business (G2B) yang terbesar di Asean dan berjaya mendapat tempat bagi segenap lapisan komuniti perniagaan di negara ini sama ada pemain industri besar mahupun industri kecil.
“Sehingga Disember 2017, jumlah komuniti pembekal yang berurusniafa menggunakan sistem e-Perolehan secara aktif adalah 37,000 pembekal,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan sempena pelancaran sistem e-Perolehan baharu di sini hari ini.
Majlis disempurnakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Mulai 1 Januari 2018, segala urusan perolehan bekalan dan perkhidmatan (bukan perunding) di semua kementerian dan agensi perlu dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menerusi sistem e-Perolehan yang baharu.
Pihak pembekal yang ingin berurusniaga dengan kerajaan perlu berdaftar dengan Kementerian Kewangan sama ada sebagai Akaun Asas atau Akaun Kementerian Kewangan.
Sistem baharu ini dijangka dapat meningkatkan tahap ketelusan, integriti serta urustadbir.
Ia juga membolehkan kerajaan berupaya menambah baik aspek pengawalan dan pemantauan secara optimum terhadap penggunaan peruntukan kerajaan.-MalaysiaGazette