Home Ekonomi BSN sasar SSP cecah RM1b tahun depan

BSN sasar SSP cecah RM1b tahun depan

Yunos Abd Ghani

KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan pertambahan simpanan menerusi Sijil Simpanan Premium (SSP) mencecah RM1 bilion pada tahun depan.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd. Ghani berkata, sehingga akhir tahun ini, simpanan SSP kini berjumlah RM3.2 bilion melibatkan lebih seramai 2.9 penyimpan.

Katanya, peningkatan itu didorong oleh usaha BSN untuk menarik lebih ramai generasi muda untuk menyimpan dalam SSP terutama menerusi pengenalan produk baharu pada tahun depan.

“Sebagai sebuah bank yang diberi mandat kerajaan untuk menggalakkan masyarakat Malaysia terutama golongan muda untuk menyimpan, BSN dari semasa ke semasa telah memperkenalkan produk-produk simpanan yang menarik.

“Jadi untuk tahun 2018, BSN akan agresif membuat kempen promosi di media sosial dalam usaha untuk pergi lebih dekat kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Cabutan BSN SSP Bulan Disember 2017 di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani dan Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Pada majlis tersebut, BSN menyampaikan hadiah utama SSP bernilai RM1 juta bagi bulan November kepada Hoo Mei Yoong dari Perak.

Hadiah cabutan bulanan berupa sebuah kereta mewah BMW 318i pula menjadi mili Vuvarajan Suppiah juga dari Perak.

Bagi Cabutan Remaja – Cabutan Khas, Maithili Manogran memenangi BSN SSP RM10,000.

Sementara itu, dalam majlis undian hari ini, Rozimah dari Selangor diumumkan sebagai pemenang hadiah utama SSP bernilai RM1 juta bagi bulan Disember.

SSP BSN kini mencecah usia ke-39 tahun sejak mula diperkenalkan pada tahun 1978. – MalaysiaGazette