KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menambah jumlah ganjaran keseluruhan Sijil Simpanan Premium (SSP) sebanyak RM20 juta pada tahun 2018.
Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, ia merupakan penambahan hampir RM3 juta kerana jumlah ganjaran yang ditawarkan pada tahun ini adalah sebanyak RM17.7 juta.
Pada masa masa, beliau memberitahu, BSN juga akan memperkenalkan Cabutan Remaja Istimewa bernilai RM250,000 pada tahun 2018.
“Jadi kepada remaja berumur 12 tahun hingga hingga 21 tahun, jangan lepaskan peluang untuk memenangi ganjaran hebat ini yang akan diadakan pada Mac depan.
“Buatlah simpanan di BSN SSP hari ini dan nikmatilah pelbagai ganjaran menarik yang ditawarkan.
“Kepada yang telah membuat simpanan, tambahlah simpanan anda dari masa ke masa. Mana tahu simpanan anda hari ini akan membantu menjadi pemenang cabutan SSP BSN 2018,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Cabutan BSN SSP Bulan Disember 2017 di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd. Ghani.
Sementara itu, Johari berkata, kerajaan akan menggunakan mekanisme dua hala membabit kerajaan dan pengguna dalam usaha membendung penipuan skim pelaburan.
Jelasnya, kerajaan akan bertindak lebih tegas ke atas syarikat yang menjalankan pelaburan dan pada masa sama, para pengguna meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam pelaburan dan celik kewangan.
“Saya hari-hari dapat aduan pesara kena tipu dengan syarikat pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang tidak munasabah.
“Ada sampai golongan pesara ini rugi kerana mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
“Golongan muda pula mudah terpedaya dengan skim pelaburan di media sosial seperti teknologi kewangan.
“Jadi saya berharap sebelum melabur, orang ramai perlu membuat siasatan di agensi kerajaan seperti Bank Negara Malaysia dan jangan cepat percaya dengan keuntungan yang dijanjikan tidak logik,” katanya. – MalaysiaGazette