Home Politik Dulu sekat sekarang Tun M perjuang kebebasan media

Dulu sekat sekarang Tun M perjuang kebebasan media

Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di Ideal Convention Centre Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 DISEMBER 2017

SHAH ALAM – Bagai meludah ke langit.

Itu perumpamaan sesuai kepada hasrat Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu mengembalikan kebebasan bersuara khususnya oleh pengamal media di negara ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu ternyata mudah lupa kerana semasa 22 tahun pentadbirannya – kebebasan media dikongkong malah sesiapa yang bersuara menentangnya pula akan disumbat ke penjara.

“Kebebasan bersuara oleh individu dan media akan kita kembalikan. Polis tidak lagi akan menyuruh orang tertentu dari parti kerajaan membuat laporan polis terhadap ucapan rakyat, pemimpin mereka atau media sosial.

“Ugutan akan disiasat oleh polis sudah dijadikan alat pemerintahan (Datuk Seri) Najib (Razak) untuk melindung jenayahnya.

“Kita sedih kerana polis juga tidak patuh undang-undang dan aturan peraturan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung PPBM kali pertama di Pusat Konvensyen Darul Ehsan di sini hari ini.

Lebih malang lagi apabila ucapan dasar bekas perdana menteri itu dipenuhi dengan tohmahan, cacian dan kata-kata fitnah terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet.

“UMNO sudah dihijack oleh Najib dan UMNO bukan milik rakyat lagi. UMNO Najib sekarang bukan UMNO yang ditubuh oleh rakyat pada 11 Mei 1946.

“Undi bagi UMNO sekarang ialah undi untuk kleptokrasi atau kerajaan perasuah, pencuri dan penyangak dan bukan kerajaan demokrasi rakyat.

“UMNO sekarang berjuang semata-mata untuk pertahan Najib. UMNO sudah dimiliki oleh Najib untuk Najib,” dakwanya.

Mahathir juga melabelkan pentadbiran Najib sebagai kuku besi sedangkan pengamal media dan sesiapa sahaja kini bebas bersuara khususnya dalam laman sosial.

“Apabila laporan polis dibuat terhadap Najib, orang yang melapor yang disiasat, disoal, dimasuk dalam tahanan dan dihadapkan ke mahkamah. Begitu juga dengan whistle-blower atau pendedah maklumat.

“Mereka yang mendedahkan penyelewengan dan jenayah yang dilakukan dalam kerajaan, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhad kepada mengenal orang itu dan menyoalnya sebagai orang bersalah kerana membocor rahsia kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

Comments are closed.