SHAH ALAM – Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad bakal dijadikan sebagai ‘kambing hitam’ oleh pimpinan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, semasa Mohd Isa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama lebih 20 tahun, tiada sebarang jenayah dan skandal timbul namun baru sekarang timbul pelbagai dakwaan termasuk salah guna kuasa.
“Untuk mengalih pandangan rakyat daripada jenayah MO1, kes Isa Samad diberi tumpuan akhbar dan televisyen kerajaan.
“Isa jadi menteri besar 20 tahun lebih tak ada masalah. Kenapa sekarang dia banyak masalah?
“Mungkin kerana dia nak dijadikan kambing hitam untuk menutup jenayah orang tertentu,” katanya dalam ucapan dasar ketika Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Pusat Konvensyen Darul Ehsan di sini hari ini.
Mahathir juga berulang kali menyerang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai kleptokrasi dan melabelkan kerajaan BN sebagai penyangak mencuri duit rakyat.
“Tak usahlah kamu menyangkal. Dunia tahu jenayah yang kamu lakukan. Merekalah yang mendakwa bahawa kamu adalah kleptokrat,” dakwanya.
Dakwanya lagi, anggota pemerintahna sekarang diperalat oleh UMNO, BN dan Najib untuk menipu termasuk membatalkan pendaftaran PPBM dan memastikan Pakatan Harapan tidak dapat didaftarkan menjelang pilihan raya umum.
“Kami sedar kami berjuang melawan pengaruh duit, melawan kuasa pemerintahan melawan penipuan.
“Duit bertimbun sedang dan akan kamu guna. Tetapi tidak semua akan terima duit yang dicuri, duit haram,” katanya lagi.- MalaysiaGazette