Home Seni Hidup Libra serlah potensi Langkawi sebagai Kota Irama Blues

Libra serlah potensi Langkawi sebagai Kota Irama Blues

LANGKAWI – Festival muzik blues pertama di Malaysia, ‘Langkawi International Blues and Roots Aseana´ (LIBRA) yang bermula malam tadi menunjukkan prospek untuk muncul antara acara muzik utama di negara ini pada tahun-tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) Datuk Azizan Noordin berkata walaupun program akan berlangsung sehingga ambang tahun baharu, persembahan pada malam pertama memberi indikasi ia bakal menjadi satu lagi acara ‘mesti´ dalam kalendar akan datang pulau itu.

“Penonton dalam kelompok usia 60-an serta generasi lebih muda, sama ada pelancong mahupun penduduk setempat, dilihat menikmati persembahan dan ini satu petanda yang bagus, ” katanya ketika ditemui di tapak festival di Pantai Chenang, di sini.

Beliau berkata LIBRA berpotensi untuk muncul sebagai satu lagi acara khusus Langkawi seperti Festival Muzik Hutan Hujan Dunia di Kuching, Sarawak atau festival muzik antarabangsa lain di Miri dan Pulau Pinang.

“Di Asia Tenggara, LIBRA akan menjadi satu lagi (festival muzik blues) selepas Festival Blues Bali (Indonesia) dan kami akan bekerja bersama dengan penganjur di sana (Bali) untuk bersama-sama mempromosikan festival kepada penggemar muzik blues di seluruh dunia, ” katanya.- BERNAMA