KUALA LUMPUR – Langkah memperkenalkan program MyPrihatin dimana kadar bayaran yuran bagi membuat lesen lebih rendah dapat membantu golongan B40 khususnya mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Kebiasaannya yuran bagi mengambil lesen untuk seorang individu adalah antara RM400 hingga RM500 bergantung kepada sekolah memandu.
Bagaimanapun dengan program MyPrihatin yuran yang dikenakan hanya sekitar RM159 untuk setiap seorang.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Fauzi Zahari berkata, program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai malah pihaknya sahaja sudah menganjurkan sebanyak tiga kali di kawasan Parlimen Setiawangsa dan menerima maklum balas yang positif.
“Saya ucap terima kasih kepada JPJ dan Kementerian Pengangkutan Jalan Wilayah kerana telah mengadakan program MyPrihatin ini yang memberi kesempatan kepada kumpulan B40 bawah untuk dapat lesen secara sah dan murah,” kata beliau semasa ditemui media selepas majlis penutup program MyPrihatin JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Parlimen Setiawangsa di SMK Keramat Wangsa hari ini.
Fauzi menerusi Pusat Khidmat Rakyat di kawasan Parlimennya juga menyumbang sebanyak RM100 kepada setiap peserta yang menyertai dimana peserta hanya perlu membayar RM59 untuk mendapatkan lesen yang sah dibawah program tersebut.
“Saya difahamkan, kadar di luar RM500 ke RM600 tapi dengan program ini mereka hanya membayar RM159 sahaja, yang itu pun RM100 daripada RM159 ditanggung oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat dimana mereka hanya membayar RM59 sahaja, cukup murah
“Ini menunjukkan kerajaan cukup prihatin dengan golongan ini bagi mendapatkan lesen secara sah dan murah,” ujarnya lagi.
Turut hadir dalam program tersebut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid.
Shaharuddin kemudiannya berkata, pihak agensi mengambil inisiatif memperkenalkan program tersebut bagi mendekati rakyat secara terus dan mengurangkan kos untuk membuat lesen yang agak tinggi.
“Kita memberikan asas kemudahan memberi lesen B2 kepada masyarakat setempat khususnya yang berumur 16 ke 40 tahun, program ini dikenali sebagai MyPrihatin oleh JPJ, kita guna kerjasama dengan Institut Sekolah Memandu dan di sekolah-sekolah terpilih,” katanya.
Seramai 284 orang peserta berjaya dilesenkan dalam program kali ini di kawasan Parlimen Setiawangsa.
Salah seorang peserta warga emas, Zulkifli Ali, 63, antara yang berjaya mendapat lesen menerusi program tersebut dan menghargai langkah diperkenalkan oleh JPJ dan kerajaan itu kerana dapat meringankan beban memandangkan kadar yuran yang murah dan memudahkannya untuk mendapat lesen disebabkan konsep turun padang yang dijalankan.
“Terima kasih kerana menganjurkan program ini, ia memudahkan saya untuk mendapat lesen tanpa perlu bersusah payah ke sekolah memandu dan pada masa sama kadar yuran juga adalah murah,” katanya semasa ditemui.
Pelaksanaan MyPrihatin diharapkan dapat memberi manfaat khususnya bagi golongan miskin bandar di seluruh kawasan Parlimen Setiawangsa dan juga akan dilaksanakan di seluruh bandar setiap negeri Malaysia. – MalaysiaGazette