KUALA LUMPUR – Seoran bekas timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali mempersoalkan keikhalasan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta maaf semalam sekiranya terdapat kesilapan sepanjang berkecimpung dalam politik dan mentadbir negara selama 22 tahun.
Ahli politik veteran itu mempertikai kenyataan Mahathir selepas meminta maaf dengan memberi alasan kenyataan maaf hanya adat dalam bangsa Melayu dan tidak semestinya ia satu pengakuan terdapat kesalahan dilakukan oleh beliau terhadap musuh politiknya.
“Dah bagus-bagus minta maaf. Kenapa lepas itu kata cuma adat dan tak mesti mengaku salah?
“Patutnya minta maaf dengan mangsa-mangsanya. Barulah benar-benar ikhlas!” kata Syed Husin dalam komen di akaun Twitter hari ini.
Syed Hussin merujuk kepada kenyataan Mahathir semasa mesyuarat agung pertama Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam.
Mahathir dalam ucapannua berkata, sebagai manusia biasa beliau tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan dari semasa ke semasa.
“Saya seperti manusia lain, tidak mungkin sunyi daripada berkata dan melaku kesalahan. Bukan sahaja hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik negara.
“Saya pohon maaf terhadap apa juga kesalahan saya selama itu,” katanya.
Bagaimanapun, selepas kenyataan itu, Dr Mahathir berkata, kenyataan maaf sememangnya menjadi adat orang Melayu dan tidak semestinya pengakuan seseorang itu bersalah terhadap kesilapannya. – MalaysiaGazette