Home Utama Jangan heret mufti dalam politik – Harussani

Jangan heret mufti dalam politik – Harussani

Tan Sri Dr Harussani Zakaria. foto HAZROL ZAINAL, 31 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Jangan heret mufti-mufti dalam isu pergaduhan politik, demikian tegas Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan mufti-mufti gagal menegur Pas yang didakwanya mengkafirkan sesiapa yang tidak menyertai parti itu.

Jelasnya, tugas mufti adalah memberikan nasihat berkenaan agama, termasuk yang melibatkan hukum berlandaskan permintaan daripada mana-mana pihak.

“Kerja mufti beri nasihat mengenai hukum hakam, jadi kalau orang bertanya boleh kita beri nasihat. Kalau orang tak minta nasihat buat apa nak cakap.

“Kita (mufti) jangan campur politik. Jangan diheret mufti-mufti dalam politik saya tidak berminat untuk politik.

“Tapi kalau ahli politik tidak betul, parti mana pun tidak betul saya kata tidak betul.

“Kalau pergaduhan sesama politik ni kami tidak mahu terlibat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menyentuh isu kafir mengkafir diperkatakan oleh Mahathir pula, Harussani berkata, pihak yang memerlukan pandangan daripada secara terbuka boleh berjumpa dengan mana-mana mufti, bukan sebaliknya membuat dakwaan sebelum bertindak mengikut tatasusila.

“Mufti tidak cakap melainkan kalau mereka bertanya, itu masalah politik. Macam-macam boleh jadi.

“Kalau ada secara rasmi minta pendapat baru kita (mufti-mufti) bincangkan. Orang tak tanya pendapat kita buat apa kita keluarkan pendapat? Cari penyakit buat apa?,” tambah beliau.

Bukan sahaja dirinya, bahkan semua mufti-mufti tambah beliau tidak bersifat kepartian dan dalam masa yang sama tidak bermusuh dengan sesiapa.

Mahathir ketika ucapan penggulungan perhimpunan agung PPBM pada semalam turut mendakwa sikap berdiam diri mufti ini juga telah membuatkan Amanat Hadi yang semakin menghangatkan polemik isu kafir mengkafir. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.