GAZA – Jumlah kematian penduduk Gaza terus meningkat dalam insiden bantahan di sempadan berhubung pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel baru-baru ini.
Mangsa terkini Jamal Muslih, 20 meninggal dunia semalam akibat cedera parah selepas ditembak tentera Israel.
Kematiannya ini menjadikan angka kematian penduduk Palestin kepada 13 sejak pengumuman Presiden Amerika Syarikat pada 6 Disember lalu.
Untuk rekod, sebelas penunjuk perasaan terkorban selepas pertempuran dengan tentera Israel dan dua lagi maut dalam serangan udara rejim ke atas Gaza awal bulan ini.
Lebih daripada 50 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran kelmarin, di sempadan Gaza-Israel sebagai sebahagian ‘hari kemarahan’ berhubung perisytiharan AS itu, yang didesak Hamas dan pergerakan pejuang Jihad Islam.
Di Tebing Barat, Kementerian Kesihatan Palestin dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 16 cedera apabila tentera Israel melepaskan tembakan peluru hidup, ketika demonstrasi manakala yang lain ditembak dengan peluru getah. -MalaysiaGazette