Home Utama Mufti terpaksa berdiam diri ketika era Mahathir – Hadi

Mufti terpaksa berdiam diri ketika era Mahathir – Hadi

Abdul Hadi bercakap pada sidang media selepas Pelancaran Kempen Penambahan Ahli PAS 'PAS Pilihanku 2.0' di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini. Foto Zaini Hardy

KUALA LUMPUR – Golongan mufti di negara ini terpaksa mendiamkan diri daripada membincangkan isu ‘Amanat Haji Hadi’ ekoran campur tangan politik dalam pentadbiran negara.

Isu tersebut didakwa menjadi punca kepada berlakunya tragedi Memali.

Perkara itu ditegaskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila memberitahu, golongan agamawan bertindak demikian ketika itu ekoran ketiadaan pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman dalam sistem pemerintahan demokrasi era Dr Mahathir.

Katanya, campur tangan politik dalam pengurusan pentadbiran bukan hanya menyebabkan mufti mengambil sikap berdiam diri malah, satu pendekatan lebih sesuai ketika itu berlaku pemecatan hakim selain Ketua Polis Negara tidak boleh bertindak dengan cara yang tepat.

“Tun M adalah pakar perubatan, bukan ahli hukum syarak. Dia tidak boleh memaksa orang yang ahli dalam ilmu hukum syarak untuk memberikan fatwa mengikut kemahuan dia.

“Saya rasa mufti ambil sikap yang begitu (diam diri) pada zaman itu… zaman yang tidak ada pemisahan kuasa, sepatutnya dalam sistem pemerintahan demokrasi, berlaku sistem pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman.

“Apa yang berlaku ialah campur tangan politik terhadap pengurusan pentadbiran, itu berlaku menyebabkan hakim kena pecat. Ketua Polis Negara tidak boleh bertindak dengan cara yang tepat, mufti pun hendak dipaksa.. daripada mereka bercakap mereka jadi diam ketika itu, itu lebih selamat, itu suasana pada masa itu,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Penambahan Ahli PAS ‘PAS Pilihanku 2.0’ di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Ketika membuat penggulungan pada perhimpunan agung tahunan PPBM semalam, Dr Mahathir berkata, mufti sepatutnya menegur amanat yang dikeluarkan Abdul Hadi pada 1981 yang didakwa mendorong penyokongnya menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan keganasan seperti peristiwa Memali pada 1985.

Mengulas mengenai perkara itu, Abdul Hadi berkata, Dr Mahathir bertanggungjawab membatalkan debat dalam isu Amanat Haji Hadi pada saat akhir, selain menempelak tindakan pihak tertentu yang tidak meneliti secara penuh ucapannya selama lebih satu jam dalam isu berkenaan.

“Pas ajak muzakarah, bukan debat, muzakarah berbincang secara ilmu. Malangnya, Tun M tak tahu bahasa Arab, saya tak tahu bahasa Inggeris, susahlah, sama-sama tak kena ‘line’, jadi dia ajak berdebat, bila sampai masa debat, dia tetapkan tarikh (tetapi batalkan) terpaksa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, yang tukang isytihar hari raya dan puasa mengisytiharkan debat dibatalkan,” katanya Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang. – MalaysiaGazette