Home Dunia Rakyat Palestin terus berhimpun bantah keputusan Washington

Rakyat Palestin terus berhimpun bantah keputusan Washington

Puluhan anggota polis mengawal keadaan penunjuk perasaan di sepanjang jalan di Baitulmaqdis. Foto AFP

SEMENANJUNG GAZA – Ribuan rakyat Palestin terus berhimpun di jalanan di Gaza dan Tebing Barat membantah pengumuman Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Bantahan itu terus berlaku sejak empat minggu lalu.

Pegawai Kesihatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 50 penunjuk perasaan cedera, kebanyakannya di sempadan Gaza, lapor laman portal Jordantimes.com.

Jurucakap tentera Israel mendakwa, rejimnya melancarkan serangan kerana menimbulkan ancaman dan cuba merosakkan pagar keselamatan sempadan.

Katanya, kira-kira 4,000 rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat dan Gaza membaling batu dan bom api ke arah rejim itu.

Di Gaza, penunjuk perasaan melaungkan ‘Mati Amerika, Mati Israel dan Mati Trump’, bagi menyatakan rasa marah atas keputusan Presiden Donald Trump pada 6 Disember lalu.

Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 21 Disember lalu menolak keputusan Trump ke atas Baitulmaqdis, dengan 128 negara anggota menyokong, 35 berkecuali dan 21 tidak mengundi. – MalaysiaGazette