Home Politik Ucapan Tun M, Muhyiddin hasut rakyat – Shaiful Hazizy

Ucapan Tun M, Muhyiddin hasut rakyat – Shaiful Hazizy

Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Kedah menyifatkan ucapan dasar pengerusi dan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada perhimpunan agung tahunan pertama parti itu semalam sebagai ucapan menghasut rakyat.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ia berikutan serangan terus menerus yang dibuat oleh kedua-dua pemimpin parti berkenaan berhubung pembohongan fakta terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Banyak isu diputar belit dan diulang berkali-kali seolah-olah mereka mahu rakyat terus termakan perkara yang tidak benar ataupun separa benar.

“Bagi Pemuda Kedah ini menunjukkan ‘kedangkalan’ hala tuju parti PPBM itu sendiri yang jelas semata-mata bersandarkan hasad dan dendam peribadi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Shaiful Hazizy, umum telah mengetahui bahawa kerajaan telahpun menangani isu itu dengan penuh profesional, telus tanpa sebarang tindakan salah laku.

Hakikatnya kata beliau, pelan rasionalisasi 1MDB sedang dilaksanakan dan segala beban hutang telah pun dilunaskan tanpa menggunakan sebarang dana daripada rakyat.

Dalam pada itu beliau menggesa agar pimpinan PPBM tidak terus menerus menjadikan rakyat sebagai tebusan dengan membebankan pemikiran mereka dengan isu berkaitan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Katanya, rakyat sudah sedia maklum dan jelas dengan sistem percukaian baru yang sememangnya lebih efektif dan menyeluruh.

“Saya harap Tan Sri Muhyiddin tidak menjadi terlalu ‘bebal’ dan pada yang sama dibutakan mata dan paradigma politik berasaskan dendam dan kebencian,” ujarnya. – MalaysiaGazette