Home Nasional Wiranita Perkasa desak tubuh RCI siasat tanah Felda

Wiranita Perkasa desak tubuh RCI siasat tanah Felda

KUALA LUMPUR – Wiranita Perkasa Malaysia (Wiranita) meminta kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi merungkai segala tuduhan salah guna dan penyelewengan kuasa melibatkan Felda.

Ketuanya, Foziah Nawawi berkata, RCI itu perlu memfokuskan siasatan kepada kes kehilangan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, yang hangat diperkatakan sekarang dan kepada lain-lain isu besar yang menjejaskan agensi itu selaku institusi rakyat marhein Malaysia sejak tahun 2011.

“Ini termasuk kes pembelian hotel di Sarawak dan London yang didakwa sebagai melebihi nilai pasaran serta kes pembelian syarikat di Indonesia yang transaksinya didakwa sebagai meragukan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Foziah berkata, Wiranita Perkasa sependapat dengan Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali bahawa RCI itu akan membolehkan siasatan komprehensif mengenai Felda dilaksanakan secara telus dan hasil siasatannya yang berkredibiliti, tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa.

Menurut beliau, menerusi pendekatan RCI itu, Wiranita Perkasa yakin dilema dan kebimbangan yang dihadapi puluhan ribu warga Felda di seluruh negara terhadap ancaman kepada masa depan mereka akan terbongkar dan dapat diselesaikan secara berkesan.

“Kita berharap kerajaan lebih prihatin dengan warga peneroka yang bimbang masa depan mereka mungkin gelap akibat pelbagai kemelut yang mencengkam Felda hari ini.

“Kita juga meminta kerajaan segerakan penubuhan RCI untuk menyiasat kemelut ini sampai ke akar umbi supaya tidak ada pihak yang akan terkorban sebagai kambing hitam,” ujar beliau.

Foziah turut merayu kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad, supaya mendesak kerajaan secara serius untuk menubuhkan RCI secepat mungkin.

Ini kerana kata beliau, penubuhan RCI akan mempermudahkan tugas beliau memberikan pembelaan sewajarnya kepada warga Felda selaku kelompok rakyat yang turut mencorakkan kekuasaan negara menerusi pilihan raya. – MalaysiaGazette