KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen mengesan beberapa ralat semasa proses pendaftaran dalam Sistem Maid Online (SMO), kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali.
Mustafar berkata, kerja-kerja penambahbaikan sedang dijalankan bagi menangani masalah yang timbul dan memberi jaminan ia akan diselesaikan dalam masa terdekat untuk memudahkan kerja pendaftaran oleh majikan.
“Sepanjang tempoh SMO mula beroperasi ini, pihak jabatan telah dapat mengesan beberapa ralat dalam langkah-langkah pendaftaran semasa majikan mula memasukkan data pendaftaran.
“Langkah-langkah serta merta telah diambil dengan membuat penambahbaikan bagi memastikan perjalanan pendaftaran dan operasi SMO ini berjalan lancar sejajar dengan tujuan program ini cepat, tepat dan jimat,” kata Mustafar dalam satu kenyataan media hari ini.
Jelas Mustafar, masalah yang timbul melibatkan majikan yang tidak dapat menyelesaikan proses pendaftaran kerana mereka ini perlu melengkapkan syarat-syarat permohonan PRA mereka.
“SMO ini disediakan untuk kemudahan majikan yang ingin memohon PRA dengan cepat, tepat dan jimat tanpa melalui ejen.
“Walaubagaimanapun majikan yang memerlukan PRA dan tidak mahu menggunakan SMO, mereka masih boleh mendapatkan khidmat agensi – agensi PRA yang berdaftar,” katanya.
SMO memulakan operasinya pada 1 Januari 2018 dan mula menerima permohonan dari majikan yang ingin menggajikan pembantu rumah asing (PRA) dengan memohon secara atas talian melalui capaian laman web http://maid-online.imi.gov.my .
SMO ini disediakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berikutan dari pengumuman bajet 2018 oleh Perdana Menteri tentang kemudahan memohon pembantu rumah asing secara atas talian tanpa perlu melalui ejen.
Sehingga jam 12 tengahari 2 Disember 2018, laman web SMO telah merekodkan seramai 25,719 pelawat.
Setakat ini laman web ini dapat diakses dengan mudah dan lancar serta pelawat boleh membuat penelitian terlebih dahulu, memahami syarat-syarat serta prosedur permohonan pembantu rumah, mendapat maklumat asas dan terperinci daripada soalan lazim ditanya sebelum memulakan proses pendaftaran.
Daripada 25,719 pelawat laman web itu, seramai 702 majikan telah mendaftar masuk permohonan PRA mereka. – MalaysiaGazette
Minimum 8 hari dapatkan pembantu rumah asing
apa maksud ralat teknikal 002