KUALA LUMPUR – Pembangkang akan mengambil kesempatan sekiranya parti komponen Barisan Nasional (BN) berebut sesama sendiri untuk menjadi calon pilihan raya umum nanti, kata Datuk Seri Syed Ali AlHabshee.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan itu menasihati supaya parti komponen BN yang terlibat dalam perebutan kerusi supaya tidak membincangkan perkara tersebut secara terbuka dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.
“Tak usahlah berebut kerusi sesama sendiri, ini akan membuka ruang kepada pihak pembangkang” tegasnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.com.
Syed Ali tidak merujuk kepada mana-mana parti komponen, bagaimanapun diketahui umum berlaku perebutan kerusi di Cameron Highlands antara dua parti komponen BN.
Perebutan di situ juga menyaksikan kedua-dua parti itu mendakwa kerusi tersebut adalah milik mereka walaupun belum diumumkan secara rasmi siapa yang bertanding di situ.
Jelasnya, sikap berebut kerusi hanya mengundang ketidakpuashatian sesama rakan BN di samping berupa memberi tekanan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.
“Serah dan akur keputusan Perdana Menteri (Najib). PRU14 bukan pilihan raya untuk agenda peribadi tetapi untuk kepentingan negara dan masa depan rakyat”, ujarnya. – MalaysiaGazette