Home Nasional Polis tahan suspek kes bunuh kurang 24 jam

Polis tahan suspek kes bunuh kurang 24 jam

KINABATANGAN – Seorang lelaki warga asing dipercayai suspek kes bunuh ditahan polis kurang 24 jam selepas memukul abang iparnya hingga mati di sebuah rumah di Ladang Mananggol dekat sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A. Sahak Rahmat berkata, suspek yang berusia 42 tahun itu memukul mangsa berumur 60 tahun pada 5 pagi ketika mangsa sedang tidur bersendirian di ruang tamu rumah mereka.

“Berdasarkan keterangan saksi, suspek balik ke rumah dalam keadaan mabuk selepas meraikan tahun baharu di rumah kawannya sebelum masuk ke biliknya menukar baju dan selepas itu suspek keluar rumah mengambil kayu lalu memukul mangsa di bahagian kepala dan kaki.

“Suspek ditahan di sebuah pejabat di Ladang Gomantong dekat sini, kira-kira 2.35 petang, semalam selepas menerima laporan pada 2 petang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sahar berkata, polis yang bergegas ke lokasi kejadian menemukan mayat mangsa dalam keadaan terbaring berlumuran darah dan terdapat kecederaan di bahagian kepala serta lebam pada mata.

Beliau berkata, pemeriksaan awal polis turut menemukan dua batang kayu yang dipercayai senjata digunakan suspek untuk memukul mangsa.

“Punca kejadian disyaki disebabkan dendam suspek kepada mangsa kerana seminggu sebelum itu, mangsa mengancam suspek dengan membawa parang namun berjaya dileraikan oleh rakan-rakan di kawasan rumah itu,” katanya.

Sahar berkata, suspek dan mangsa merupakan buruh asing yang bekerja di Ladang Mananggol sejak 10 bulan yang lalu. – Bernama