KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempertahankan mesyuarat agung tahunan (AGM) mereka baru-baru ini sah walaupun wujud pertikaian parti itu tidak pernah mengadakan mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian.
Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shaharuddin Mohd Salleh berkata, partinyatidak mengadakan persidangan cawangan kerana setakat ini belum ada satu cawangan pun yang telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
“Persidangan bahagian juga tidak diadakan kerana menurut tafsiran perlembagaan PPBM, persidangan bahagian hendaklah diadakan setelah bahagian-bahagian cukup tempoh setahun penubuhannya,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Shaharuddin turut menjelaskan mereka dalam proses mendaftarkan cawangan dan bagi bahagian pula perlu menunggu tempoh matang setahun pada 24 Julai 2018 baharu boleh diadakan mesyuarat.
Beliau juga membidas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang didakwanya membuat kenyataan bermotifkan politik.
“Sebagai seorang timbalan menteri di sebuah kementerian yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal pertubuhan, beliau sepatutnya bersikap lebih profesional.
“Ternampak jelas bahawa kenyataan beliau itu tidak bersasaskan fakta yang tepat, tetapi dibuat dengan bermotifkan politik,” ujarnya lagi.
Shaharuddin juga menunding jari terhadap RoS kerana tidak memberi garis panduan dan nasihat yang jelas dalam mengadakan AGM mereka.
“PPBM telah meminta nasihat daripada RoS berhubung dengan tatacara mengadakan Perhimpunan Agung PPBM menerusi beberapa pertemuan dan surat, namun RoS tidak memberikan sebarang nasihat yang jelas, melainkan sepucuk surat bertarikh 19 Disember 2017 yang meminta PPBM melaksanakan Perhimpunan Agung menurut perlembagaan parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette