KUALA LUMPUR- Keselamatan seramai 46 sukarelawan belia yang akan membawa misi kemanusiaan ke Uganda, Tanzania, Kenya dan Sudan di benua Afrika terjamin.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, kesemua sukarelawan terpilih menerusi temuduga daripada 406 pemohon dalam keadaan terbaik dan cergas untuk membawa misi berkenaan.
“Ini merupakan misi kelima MyCorps dibawah KBS yang mana kesemua 46 sukarelawan ini telah dilatih selama sebulan untuk menilai dan menguji daya ketahanan mental dan fizikal mereka supaya bersedia menghadapi segala kemungkinan di Afrika yang agak terpencil itu.
“Disana mereka akan bekerjasama dengan NGO-NGO lain di sanamelibatkan perkhidmatan pelbagai lapangan seperti khidmat pendidikan, perubatan, pembinaan kemudahan dan pembangunan komuniti penduduk setempat yang terjejas akibat bencana, kemiskinan, wabak penyakit dan pelarian.
“Mereka akan berkhidmat di kawasan terpencil yang tidak mempunyai kemudahan asas yang agak kritikal dan mencabar termasuk norma kehidupan masyarakat di empat negara itu yang sangat berbeza.
“Ini situasi yang perlu ditempuh mereka dan menjayakan misi mereka kerana segala perkhidmatan mereka di lapangan yang tidak jaub dari kawasan konflik dalam di situ akan dinilai pihak disana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sesi Bertemudan bermesra dengan 46 Sukarelawan MyCorps KBS di sini hari ini.
Kata Khairy, kumpulan misi kelima itu akan bertolak secara berperingkat bermula 4 Januari ini dan akan menjalankan misinya selama dua bulan sehingga awal Mac 2018.
Ujarnya di situ, selain berkhidmat di sana, sukarelawan juga mempelajari norma hidup serta kehidupan masyarakat setempat selain meningkatkan daya kepimpinan mereka.
Katanya, pihaknya menyasarkan RM250,000 dana daripada orang awam dan setakat ini RM80,000 berjaya dikutip dalam jelajah di Perak dan Pulau Pinang.
“Kita yakin jumlah sumbangan ini akan bertambah setelah video dan gambar 46 sukarelawan dari lapangan dilihat kelak oleh rakyat kita nanti.
“Kalau Syria dan Rohingya sudah pasti dana dikutip pantas sebab isu itu masih hangat menarik perhatian antarabangsa.
“Namun kedaifan dan konflik di Afrika berlarutan sejak lama dan kekurangan maklumat media antara faktor ia tidak mendapat pendedahan dan perhatian rakyat dan selepas ini ia akan meningkat,” ujarnya.- MalaysiaGazette