KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad mendesak kerajaan Selangor dan Pulau Pinang mengharamkan pengambilan pekerja asing.
Presidennya, Ramesh Rao berkata, desakan itu perlu selari dengan akujanji Mahathir yang mahu mengurangkan pendatang asing ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sabtu lalu.
“Mahathir dalam ucapannya berkata, PPBM akan memperjuangkan langkah mengurangkan permintaan terhadap pekerja asing dari tujuh juta kepada dua juta orang.
“Elok beliau desak Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang supaya hentikan pengambilan pekerja asing dan haramkan terus di negeri yang dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH) itu.
“Beliau tidak perlu tunggu menang PRU-14 di peringkat Persekutuan kerana PH sudah ada kuasa besar di dua negeri berkenaan di mana banyak kilang dan syarikat memerlukan pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramesh juga berkata, Mahathir perlu memastikan akujanji itu dilaksanakan di dua negeri itu terlebih dahulu untuk melihat kebekesanannya.
Beliau tidak mahu Mahathir menggunakan akujanji itu sebagai alat untuk meraih undi.
“Jangan gunakan taktik ini untuk dapatkan keyakinan rakyat menjelang PRU-14 kerana pakatan sudah banyak berjanji tapi tidak ditunaikan sehingga rakyat berasa tertindas di negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan.
“Di Pulau Pinang, contohnya, janji untuk mansuhkan plaza tol Jambatan Pulau Pinang sudah dibuat oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng sejak tahun 2012, sampai sekarang ia tidak dimansuhkan lagi.
“Baru-baru ini, beliau janji lagi untuk hapuskan tol Jambatan Pulau Pinang tapi ia masih tidak ditunaikan sampai ke hari ini, dan ia terus membebankan rakyat negeri Pulau Pinang,” jelasnya.- MalaysiaGazette