LONDON – Arsene Wenger menafikan laporan media bahawa Arsenal mengemukakan bidaan untuk membeli bintang pertahanan Chelsea, David Luiz pada jendela perpindahan musim sejuk Januari ini.
Malah pengurus warga Perancis itu juga menolak khabar angin the Gunners mahu membeli penyerang Monaco, Thomas Lemar.
Akhbar mendakwa kononnya Wenger bersedia untuk mendapatkan khidmat Luiz sementara memperbaharui tawaran kepada pemain tengah Perancis, Lemar.
Lemar menolak tawaran bernilai £92 juta (RM503.6 juta) daripada Arsenal musim lalu dan kekal di Monaco.
“Saya tidak mahu mengulas apa-apa mengenai mana-mana nama pemain secara spesifik.
“Tetapi segala laporan di luar sana yang mengaitkan Arsenal dengan dua pemain itu adalah tidak benar,” tegasnya.
Wenger juga mengesahkan kelab juga belum menyediakan kontrak baharu untuk Alexis Sanchez, Mesut Ozil dan Jack Wilshere.
Kontrak ketiga-tiga pemain itu akan tamat pada akhir musim ini. – MalaysiaGazette