Home Dunia Israel halau pendatang Afrika

Israel halau pendatang Afrika

Penempatan pendatang di Holot. foto Agensi

BAITULMAQDIS – Kerajaan Israel memberi tempoh sehingga April ini kepada pendatang Afrika supaya keluar dari negara itu.

Mereka yang keluar sebelum akhir Mac akan diberikan sejumlah AS$3,500 tetapi pendatang yang gagal berbuat demikian diancam dipenjarakan mulai April.

Bagaimanapun, arahan itu dikecualikan kepada kanak-kanak, orang tua, dan mangsa penghambaan dan pemerdagangan manusia.

Pendatang itu akan diberi pilihan untuk pergi ke negara asal atau negara ketiga.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan arahan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan Israel.

Jurucakap Pihak Berkuasa Penduduk dan Imigresen Israel memberitahu, terdapat 38,000 “penyusup” ke Israel, yang mana hanya 1,420 telah ditempatkan di kemudahan tahanan.

Israel menggunakan istilah “penyusup” untuk menggambarkan pendatang itu tidak memasuki negara ini melalui lintasan sempadan rasmi.

Kebanyakan migran – dari Eritrea dan Sudan – mengatakan bahawa mereka datang ke Israel untuk mencari suaka selepas melarikan diri daripada penganiayaan dan konflik.

Namun Israel menganggap mereka sebagai pendatang ekonomi. – MalaysiaGazette