KUALA LUMPUR – Pemimpin parti komponen Barisan Nasional menyifatkan pelancaran theRakyat sebagai portal rasmi parti itu adalah tepat pada masanya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menurut Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, ini kerana PRU14 yang dijangka sengit dan mencabar buat BN bakal ditentukan oleh media-media baharu.
Beliau berkata, theRakyat boleh menangkis fitnah serta pembohongan dengan memberi fakta dan gambaran yang betul kepada rakyat terutamanya pengundi di negara ini.
“Portal theRakyat telah memberikan nafas baharu kepada komponen Barisan Nasional sebagai wadah untuk memenangi hati rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14, sekali gus membantu kita memerangi segala fitnah serta pembohongan yang dikeluarkan dalam media sosial oleh pembangkang.
“Bahang PRU sudah terasa dan BN sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan saingan sengit kali ini. Antara alternatif untuk kemenangan besar kali ini adalah dengan kewujudan portal ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika di temui selepas majlis pelancaran theRakyat oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.
Sementara itu, menurut Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, theRakyat yang merupakan pendekatan interaktif yang segar dengan memasukkan elemen bual biicara, infografik, video dan pelbagai lagi.
“Ini sekali gus mampu menarik pengundi terutamanya golongan muda dan pengundi baharu untuk melayarinya bagi mendapatkan penjelasan, sekali gus menagkis serangan pembangkang.
“Apatah lagi dengan zaman teknologi yang dengan hanya satu klik saja, segala maklumat boleh diperoleh di mana-mana sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam pula menyifatkan theRakyat sebagai portal yang unik dan akan menjadi suara keramat BN menjelang PRU-14.
Katanya, portal berkenaan juga akan menunjukkan semangat perpaduan dan setiakawan yang utuh terjalin di antara pemimpin-pemimpin BN selain menjadi medan penyaluran dasar kerajaan dalam pembangunan rakyat.
“Pertama kali kita menyaksikan satu portal unik menjelang PRU dan juga akan terus mendampingi rakyat selepas PRU nanti.
“MIC akan menggunakan sepenuhnya peluang ini untuk meyakinkan rakyat khususnya masyarakat India tentang keikhlasan BN dan MIC dalam memperjuangkan nasib komuniti itu,” katanya.
Pendapat yang sama turut disuarakan Presiden myPPP, Tan Sri M. Kayveas yang menyatakan theRakyat akan menjadi satu platform yang kuat dan utuh yang akan digunakan secara maksimum untuk menyalurkan segala input yang berfakta, tepat dan terkini untuk diakses rakyat.
“Ia penting kerana kewujudan dan penyebaran pelbagai bentuk media sosial dalam dunia maya telah mengubah landskap politik tanahair, sekali gus mengakibatkan pembangkang meracuni fikiran rakyat denga dakyah tidak sahih.
“Portal tunggal ini akan digunakan sebaik-baiknya oleh kami serta semua pemimpin myPPP untuk menyumbang maklumat yang menjurus kepada kebajikan dan pembangunan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette