KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) khususnya di Selangor merupakan parti politik yang sangat tidak bertanggungjawab apabila sewenang-wenangnya cuba mengambil kredit hasil usaha dan inisiatif Kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berkata, lebih malang apabila pembangkang mendakwa pemansuhan kutipan tol Sungai Rasau dan Batu Tiga di Shah Alam pada 1 Januari lalu merupakan hasil perjuangan mereka.
“Demikianlah pembangkang di Malaysia, pembangkang yang sangat tidak bertanggungjawab, akhirnya cuba mengambil kredit dan akhirnya mereka cuba menyatakan itu hasil perjuangan mereka.
“Saya fikir ini bukan kali pertama pembangkang di Malaysia berperangai sedemikian rupa, banyak insiden ambil kredit ini dilakukan oleh pihak pembangkang.
“Kerajaan BN dan UMNO Selangor berjuang sudah cukup lama sejak 2008 dan ketika 2011, saya bercakap di Perhimpunan Agung UMNO menyatakan keperluan supaya tol ini dimansuhkan,” katanya dalam wawancara eksklusif MalaysiaGazette, di Yayasan Budi, di sini, semalam.
Pada 27 Oktober lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan kutipan tol di beberapa lebuh raya termasuk di Sungai Rasau dan Batu Tiga, Shah Alam.
Pemansuhan itu diumumkan semasa perdana menteri membentangkan Bajet 2018 di Parlimen, di sini.
Budiman berkata, tindakan mengambil kredit bagi pemansuhan kutipan tol itu mula berlaku sehari selepas perkara itu diumumkan oleh perdana menteri.
“Kes klasik dalam isu tol Sungai Rasau sehari selepas pengumuman dibuat di sidang Bajet 2018, Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail menyatakan ini adalah hasil daripada perjuangan mereka.
“Jadi sebenarnya pembangkang di Malaysia ini ada dua perkara, pertama mereka menanamkan politik kebencian untuk terus meletakkan kebencian rakyat kepada kerajaan.
“Kedua ialah ambil kredit terhadap apa usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan,” jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang berkata, tindakan mengambil kredit itu juga berlaku di kawasan beliau apabila Kerajaan BN memberi bantuan kepada pesawah padi.
“Banyak bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada pesawah padi. Akhirnya bila majlis penyampaian kita buat, apabila kita lakukan, pemimpin-pemimpin mereka mendabik dada bahawa ini adalah hasil perjuangan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette