Home Nasional TN50 bukan menidakkan Wawasan 2020

TN50 bukan menidakkan Wawasan 2020

KUALA LUMPUR – Pelancaran Transformasi 50 (TN50) yang merupakan satu inisiatif pembangunan negara yang merangkumi tahun 2020 hingga 2050 bukan untuk menidakkan Wawasan 2020.

Sebaliknya, Datuk Seri Najib Razak berkata, TN50 merupakan kesinambungan kepada Wawasan 2020 yang tinggal hanya dua tahun sahaja lagi.

Perdana Menteri berkata, kesinambungan itu perlu dilakukan sekarang kerana negara memerlukan satu tempoh untuk mengumpul cadangan dan pandangan daripada rakyat.

“Saya mahu TN50 ini berbeza pendekatan dengan Wawasan 2020, bukan menidak tetapi berbeza,” katanya dalam program wawancara Bicara 4 Mata.

Katanya, Wawasan 2020 yang diperkenalkan pada Rancangan Malaysia ke-6 pada tahun 1991 dibuat di peringkat atas (pemimpin) ke bawah (rakyat).

Tetapi untuk TN50, Najib mahu ia dimulakan dari peringkat rakyat terlebih dahulu.

“Saya mahu visi baru ni visi yang benar-benar daripada rakyat, visi yang mencerminkan aspirasi rakyat,” tambahnya.

Oleh yang demikian, kerajaan menganjurkan banyak siri dialog bagi pelbagai kelompok masyarakat supaya cadangan dan pandangan mereka boleh dirumus dan dijadikan visi baru untuk negara.

Meskipun belum lengkap lagi, Najib berkata, beliau sudah boleh membayangkan TN50 dengan mensasarkan untuk menjadikan Malaysia berada dalam kalangan 20 negara terunggul di dunia.

“Itulah menjadi hasrat, aspirasi kerajaan tetapi belum lengkap. Kita tengah kumpulkan apa kehendak dan aspirasi rakyat.

“Misalnya banyak hendak soal alam sekitar, Malaysia jadi green, kehijauan negara kita, alam sekitar mesti dijaga sebaik-baiknya, digital Malaysia. Mereka hendak lifestyle (gaya hidup) baru, umpamanya. Macam-macam, idea yang sangat baik,” kata Perdana Menteri lagi.

Menjawab mengenai masa depan negara, Najib berkata, beliau optimis dengan Malaysia selagi negara ini di bawah pimpinan kerajaan sedia ada.

Tegas beliau, ini kerana kerajaan pada hari ini adalah sebuah kerajaan yang sentiasa memikirkan masa depan dan negara pada hari ini dan akan datang.

“Kerajaan kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab, yang memikir kehendak dan keperluan rakyat hari ini dan juga akan menjamin masa depan yang lebih baik lagi. Insya-Allah.

“Kita tidak sanggup mengorbankan masa depan negara kita dengan langkah-langkah populis semata-mata. Itu bukan kerajaan kita,” jelas Perdana Menteri. – theRakyat