KUALA LUMPUR – Petronas Dagangan Bhd (PDB) menafikan dakwaan kehabisan baucer semasa promosi The Only Game Where Everybody Wins disebabkan terdapat krew stesen minyak menyembunyikan dan menyimpannya dengan mengatakan ia sudah habis.
Sebaliknya, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif PDB, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yusus berkata, promosi tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan malah mereka tidak menyangka promosi tersebut menerima penyertaan yang ramai.
“Dakwaan krew petronas simpan baucer itu tak benar, ini kerana untuk menebus baucer kena ada resit, jadi dakwaan itu tidak betul,” kata beliau semasa sidang media hari ini di Hotel Mandarin Oriental.
Sebanyak enam juta baucer dikeluarkan untuk mempromosikan kempen tersebut bagaimanapun orang ramai membuat aduan apabila gagal mendapatkan baucer tersebut.
Bagi pihak Petronas, beliau meminta maaf kepada pelanggan yang tidak dapat menebus baucer tersebut bagaimanapun pihak PDB akan membalas jasa pelanggannya dengan memberikan 6 kali ganda mata Mesra untuk tempoh bermula 6 hingga 12 Januari ini.
“Disebabkan kekecewaan yang berlaku, kami meminta maaf kepada pelanggan kami terhadap kesulitan yang berlaku, kami tidak ada niat untuk mengecewakan para pelanggan kami.
“Sebagai penghargaan, kami akan memberikan 6 kali ganda mata Mesra kepada para pelanggan bermula 6 hingga 12 Januari 2018.
“Ini adalah mata tertinggi pernah kami berikan kepada pelanggan yang membeli di 1,000 stesen minyak Petronas dan 750 buah kedai Mesra kami,” katanya lagi.
Pengumuman itu juga pada masa akan menamatkan promosi baucer tersebut lebih awal pada 6 Januari ini.
Mohd Ibrahimnuddin juga memberi jaminan akan menambahbaik perkhidmatan dalam setiap promosi yang akan mereka adakan pada masa depan bagi mengelak isu sama berulang berlaku.
Semalam media melaporkan ketakpuashatian orang ramai kerana PDB gagal menyediakan baucer mencukupi semasa promosi The Only Game Where Everybody Wins yang sedang berlangsung sehingga akhir Februari.
Mengikut syarat penyertaan yang tertera pada baucer berkenaan, setiap pelanggan layak mendapat baucer yang menawarkan pelbagai ganjaran itu apabila mengepam petrol sekurang-kurangnya RM20 atau membeli barangan promosi kedai Mesra atau membeli Petronas Syntium 4 liter.
Malangnya, tidak semua pelanggan memperoleh baucer berkenaan meskipun menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette