Home Nasional Sudah lima jam, Isa Samad masih beri keterangan

Sudah lima jam, Isa Samad masih beri keterangan

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memberitahu, beliau telah menulis surat kepada UMNO Bahagian Teluk Kemang untuk berhenti daripada menjadi ahli UMNO dua hari lepas.
Tan Sri Isa Samad

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilaporkan masih memberikan keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman.

Menurut Pengarahnya, Datuk Amar Singh Ishar Singh, Mohd Isa masih lagi berada di perkarangan ibu pejabat JSJK di Menara 238 setelah sampai jam 10.30 pagi tadi.

“Sesi rakam keterangan Mohd Isa masih berjalan, kita sambung semula selepas solat Jumaat,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Menara 238.

Media masih lagi berkampung di perkarangan menara sejak Mohd Isa sampai pagi tadi.

Lebih 50 wartawan sudah berada di sini sejak jam 9 pagi tadi apabila Mohd Isa dilaporkan akan hadir ke JSJK untuk sesi memberikan keterangan.

Mohd Isa hadir di JSJK hari ini bagi memberi keterangan berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Beliau tiba jam 10.30 pagi tadi dan terus memasuki Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di tingkat 33 melalui pintu belakang.

Menurut Amar Singh, Isa adalah individu ke sembilan dipanggil bagi memberikan keterangan hari ini.

Mohd Isa dipanggil polis selepas media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM270 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu pernah menjadi Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017, Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017. -MalaysiaGazette.