Home Akhbar Cina Bas sekolah disaing ‘kereta suri rumah’

Bas sekolah disaing ‘kereta suri rumah’

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Jika teksi menerima persaingan daripada Uber, pengusaha bas sekolah pula menerima cabaran daripada suri rumah tangga yang menggunakan kereta persendirian untuk mengangkut murid-murid ke sekolah.
China Press melaporkan, pengusaha bas sekolah berdepan pengurangan sumber pelanggan sehingga 50 peratus yang menyebabkan pendapatan mereka berkurangan sehingga 30 peratus.
Keadaan itu antaranya disumbang oleh kemunculan kereta persendirian yang diusahakan oleh suri rumah tangga sebagai kerja sambilan.
Disebabkan kereta persendirian hanya mengambil murid yang terhad, keadaan itu menyediakan ruang lebih selesa untuk murid.
Selain itu, jumlah murid yang lebih sedikit juga bermakna mereka tidak perlu menunggu giliran yang panjang untuk sampai ke rumah mereka.
Timbalan Presiden Persatuan Bas Sekolah, Wu Zhi Liang (nama mengikut pinyin) berkata, anggaran tahun lalu menunjukkan terdapat 19,000 buah bas sekolah di bawah persatuan, tetapi jumlah itu dianggar telah menjunam kepada hanya 5,000 hingga 9,000 buah.
Selain didorong oleh persaingan sengit, ‘penuaan’ bas sekolah juga menyebabkan banyak bas berhenti beroperasi.
“Banyak bas sekolah yang masih beroperasi adalah ‘bas tua’ yang berumur 20 tahun ke atas, mereka juga akan ‘bersara’ tidak lama lagi,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan pengusaha yang mencecah umur 50 atau 60 tahun juga tidak merancang untuk menukar kenderaan baharu untuk meneruskan operasi.
“Hakikatnya industri bas sekolah telah menjadi industri senja kerana keuntungan yang rendah,” katanya.
Tambahnya, ramai ibu bapa sanggup membayar duit lebih supaya anak mereka dihantar menggunakan kereta persendirian yang diiusahakan suri rumah tangga.
“Dengan menggunakan kereta persendirian, murid berkenaan boleh keluar lebih lambat, tetapi pulang lebih awal kerana jumlah murid yang dihantar tidaklah banyak,” katanya. – MalaysiaGazette