Home Utama DAP khianati rakyat Pulau Pinang selama 10 tahun – Siew Keong

DAP khianati rakyat Pulau Pinang selama 10 tahun – Siew Keong

Saya percaya pengundi di Teluk Intan akan memberi penilaian yang sewajarnya kerana saya telah memberi perkhidmatan secara ikhlas selepas memenangi semula kerusi ini. - Mah Siew Keong

KUALA LUMPUR – Janji manis yang tidak pernah dikotakan serta tohaman, fitnah selain kenyataan berbaur perkauman menjadi intipati parti chauvinis DAP untuk terus membohongi rakyat, khasnya masyarakat Cina sehingga hari ini.

Hasilnya, DAP yang berjaya memerintah Pulau Pinang hanya mengundang kekecewaan kepada penduduk negeri itu apabila gagal melaksanakan setiap janji, sebaliknya terus bermain ‘tarik tali’ dengan pengundi.

Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, walaupun telah memerintah Pulau Pinang selama 10 tahun namun tiada perubahan ketara selain pencemaran yang berada pada tahap membimbangkan, ekonomi merundum, pembangunan tidak stabil selain pelbagai isu timbul, termasuk kos sara hidup serta pengangkutan.

“Sebenarnya DAP telah mengkhianati masyarakat Pulau Pinang. Segala macam permodenan di Pulau Pinang merupakan hasil inisiatif kerajaan BN dan Gerakan yang telah memerintah sekian lama sebelum diambil alih oleh DAP.

“Pulau Mutiara sudah tidak lagi bersinar seperti dulu. Pelbagai jenis pembangunan tanpa henti sehingga membawa pencemaran dan menghancurkan alam sekitar. Tidak cukup dengan itu, pelbagai janji manis bulan bintang yang ditabur juga tidak terlaksana.

“Akhirnya, Lim Guan Eng bertindak meyalahkan kerajaan terdahulu terutamanya Tan Sri Koh Tsu Koon. Pelik betul, benda baik beliau tumpang ambil kredit tanpa sedikit pun rasa malu.

“DAP sebenarnya telah gagal. Gagal perjuangkan nasib rakyat, gagal kembangkan ekonomi rakyat, gagal dalam melunaskan janji, gagal dalam menyediakan keselesaan. DAP telah gagal, gagal dan gagal,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Teguh MCA-Gerakan buat julung kali di Wisma MCA hari ini.

Siew Keong yang juga Menteri Perusahaan dan Komoditi menyelar keangkuhan DAP yang hanya bijak menanam sentimen kebencian rakyat terhadap kerajaan bagi memastikan kejayaan mereka memenangi kerusi lebih banyak.

“Kepentingan rakyat bukan kepentingan DAP. Bagi mereka kemenangan mereka dengan apa cara sekalipun sahaja menjadi objektif. Prinsip CAT yang sering dilaung-laungkan oleh mereka juga tidak membawa apa-apa erti. Sekadar slogan retorik.

“Tetapi, semua ini akan berubah. Kami tidak akan sesekali berkopromi dengan keangkuhan DAP, sebaliknya akan terus berusaha untuk memenangi hati rakyat terutamanya pengundi di Pulau Pinang. Cukuplah perbodohkan mereka untuk sekian lama,” ujarnya.

Dalam pada tu, Siew Keong turut membidas perbalahan dalaman dalam kalangan anggota pembangkang untuk menamakan calon Perdana Menteri mereka adalah umpama drama keluarga yang tidak menjanjikan kesudahan yang baik untuk rakyat.

Jelas beliau, sehingga kini pembangkang masih gagal bersepakat untuk menamakan calon Perdana Menteri walaupun isu tersebut sudah basi, malah mendakwa masing-masing cuba membawa masuk ahli keluarga sendiri.

“Perbalahan berterusan sama macam satu drama keluarga apabila semua orang ada calon sendiri dan kemudian datang satu idea mengarut apabila mereka mencipta jawatan perdana menteri peralihan semata-mata untuk kepentingan seseorang yang lain.

“Rakyat juga sedang memerhatikan setiap drama serta perilaku mereka, biar mereka membuat keputusan pada PRU nanti. Dalam kalangan penyokong pembangkang sendiri sudah wujud rasa tidak puas hati kerana kewujudan pemimpin-pemimpin baru yang juga ingin berkuasa.

“Kita juga musykil bagaimana Tun Mahathir yang selama ini telah banyak ‘menyusahkan’ pemimpin pembangkang boleh duduk sepentas dengan mereka dan kini bercita-cita pula mengambil alih tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette