PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru institusi agama menangkis dakyah keganasan serta ekstrem dan bukan hanya menyebar kepercayaan.
Perdana Menteri berkata, menerusi pandangan dan nasihat ulama, satu kerja asas berdasarkan pendidikan dan maklumat anti-keganasan perlu dikeluarkan.
Jelas beliau, sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran dan al-Hadis, menjadi seorang muslim bermaksud menjadi individu yang bersifat sederhana.
Beliau turut memetik dua surah dalam Al-Quran yang mengajak semua umat Islam kepada konsep bersederhana.
Katanya, Malaysia akan terus memperjuangkan konsep wassatiyah atau bersederhana dalam semua bidang.
“Ini adalah sebahagian daripada fiqh dan akidah Islam mengenai kesederhanaan.
“Menerusi pandangan golongan ulama, kerja asas bersumberkan al-Quran dan Sunnah Nabi mengenai pendidikan dan maklumat anti-keganasan dapat dihasilkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup pada Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya 2018 di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.
Dialog selama dua hari yang bermula semalam itu bertemakan Kebijaksanaan dan Kesederhanaan Dalam Membanteras Keganasan itu bertujuan mempromosi Malaysia sebagai sebuah negara moden dan progresif yang berada di garisan hadapan dalam membanteras keganasan dan ideologi ekstremisme.
Dialog tersebut dihadiri oleh menteri dan timbalan menteri dari 20 negara termasuk Arab Saudi, Australia, Britain, Perancis dan Indonesia.
Program dianjurkan menerusi kerjasama antara Malaysia dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Arab Saudi iaitu Rabitah Al-Alami Al-Islami (Liga Muslim Dunia).
Empat sidang pleno berlangsung sepanjang dialog meliputi beberapa perkara antaranya Islam sebagai Wadah Kesederhanaan dan Keselamatan, Bersama Menentang Keganasan, Peranan Agama dalam Menyemai Nilai-Nilai dan Kesederhanaan serta Membanteras Keganasan Secara Kebijaksanaan dan Kemanusiaan.
Semua resolusi dan hasil perbincangan dalam dialog antarabangsa ini menjadi teras kerjasama dalam menangani serta membanteras keganasan secara kesederhanaan dan tanpa kekerasan.
Kira-kira 1,000 peserta tempatan dan luar negara akan menyertai dialog tersebut. – MalaysiaGazette
Comments are closed.