Home Seni Hidup Sering bergaduh punca Sheila On 7 bertahan

Sering bergaduh punca Sheila On 7 bertahan

Salah seorang anggota kumpulan Sheila On 7, Adam Subarkah pada sidang media di House Restaurant G Tower, Jalan Tun Razak, KL.foto, IMRAN FAKHRI 05 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Sedar tak sedar, sudah 22 tahun kumpulan popular dari Indonesia, Sheila On 7 (SO7) bertahan dalam industri.

Meski populariti kumpulan ini tidak lagi segah dulu, namun mereka masih bertahan dengan single mereka yang masih mampu mencuri perhatian pendengar.

Pemain basis SO7, Adam Subarkah memberitahu sejak ditubuhkan sehingga kini mereka sering bergaduh.

“Kami memang selalu bergaduh. Macam-macam perkara kami gaduhkan. Nak menerbitkan sebuah lagu pun kami bergaduh.

“Tapi itulah rahsia kami bertahan lama kerana kami mahu yang terbaik dan kami faham karakter masing-masing,” jelas Adam ketika sidang media semalam di sini.

“Kami tidak punyai sebab khusus kenapa kami mampu bertahan lama tapi kami berada di sini kerana kami suka muzik dan kami berasa dekat dengan peminat,” tambah Eross Chandra selaku pemain gitar kumpulan ini.

Bagi peminat SO7 pasti mengetahui selain Adam dan Eross, Duta juga merupakan anggota asal kumpulan SO7.

Terdahulu Anton dan Sakti keluar dari kumpulan ini sebelum tempat Sakti selaku pemain dram diambil Brian pada 2006.

Adam dan Eross ditemui sewaktu mengadakan sesi promosi konsert terbaru SO7 di ibu negara pada 10 Februari nanti.

Konsert yang bakal diadakan di StarXpo, KWC Fashion Mall itu menurut penganjur telah mendapat sambutan luar biasa apabila jualan tiket awal mendapat sambutan luar biasa.

Adam memberitahu, untuk konsert ini, mereka akan cuba memilih lagu yang mesra di telinga peminat mengikut era masing-masing.

Selain itu, sebagai saguhati mereka akan mendendangkan single terbaru mereka Film Favourit khusus buat peminat di Malaysia. – MalaysiaGazette