Home Politik Pas ‘berkhalwat’ dengan UMNO – Muhyiddin

Pas ‘berkhalwat’ dengan UMNO – Muhyiddin

Timbalan Presiden Pakatan HARAPAN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2018.

SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Pas dan UMNO atau Barisan Nasional sedang ‘berkhalwat’ sesama sendiri.

Justeru beliau menyeru agar rakyat Kelantan mengubah pilihan mereka dan memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan.

“Pas yang sebelum ini menunjukkan minat untuk bersama kita sudah pun terpisah, tidak bersama kita dan nampaknya mereka pun sedang berkhalwat dengan UMNO.

“Jadi untuk rakyat Kelantan lebih mudah, mereka sokong PH, mereka akan tentang sesiapa sahaja yang berkhalwat dengan UMNO dan UMNO sendiri dan insya Allah PH akan mencapai kemenangan dalam PRU-14,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Pakatan Harapan di Ideal Convention Centre disini hari ini.

Oleh kerana PH akan bertanding di semua kerusi Parlimen seluruh negara, maka diharap keempat-empat parti komponen akan menerima pembahagian yang dibuat tanpa sebarang tindakan sabotaj antara satu sama lain.

“Sebagai pejuang-pejuang seharusnya terima keputusan pembahagian dibuat melalui rundingan teratur yang ambil masa lama saling hormati dan tolak ansur ia asas tentukan kita disini sedia hadapi PRU.

“Setiap parti letak calon yang terbaik. Tiada kawasan tidak ditandingi PH. Kedua-dua Parlimen dan DUN kita akan letak calon yang terbaik.

“Kita mesti sokong calon tak kira parti mana. Kita walaupun itu bukan kawasa kita tandingi,sokong 100 peratus. Jangan ada sabotaj siapa sabotaj adalah pengkhianat,” ujarnya. -MalaysiaGazette