PASIR MAS – Barisan Nasional (BN) Kelantan menyasarkan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi memastikan parti itu kembali mentadbir negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya telah mengerakkan semua jenteranya di semua peringkat dalam program khas yang dinamakan ‘DUN Tumpuan’ bagi merealisasikan hasrat tersebut.
Beliau berkata, sehingga kini gerak kerja tersebut memperlihatkan hasil positif dengan penerimaan rakyat yang lebih baik terutama di kawasan yang sebelum ini sukar ditembusi.
“Peluang untuk kita menang menang ada, tetapi UMNO dan BN perlu bekerja lebih keras. Sasaran kita tidak berubah, iaitu menang di 31 daripada 45 DUN di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jentera UMNO di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bechah Semak di sini malam tadi.
Pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti dalam program Turun Padang di DUN Tendong di sini.
Terdahulu beliau yang ditemani Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Senator Datuk Hanafi Mamat turut untuk menziarah pesakt-pesakit di sekitar PDM tersebut.
Dalam pada itu, Mustapa memberitahu, UMNO negeri ini menuntut kembali kerusi DUN Guchil, Kuala Krai yang di pinjamkan kepada MyPPP pada PRU 13 lalu.
“Setakat ini hanya satu DUN iaitu Kota Lama yang tidak tandingi oleh UMNO, kawasan tersebut adalah kerusi tradisi MCA dan terus kekal diberikan kepada MCA.
“Untuk makluman senarai akhir calon BN Kelantan akan diketahui penghujung bulan Febuari nanti selepas melalui tiga tapisan,” katanya.