KUALA LUMPUR – Keputusan Pakatan Harapan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 hanyalah satu malapetaka kepada mereka.
Ujar Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii, tindakan itu tidak membantu malah memburukkan keadaan apabila Mahathir kini diserang penyakit ‘tua’ seolah-olah masih berkuasa pada era 90-an.
“Kepada penyokong-penyokong Mahathir yang masih mengharapkan beliau menjadi perdana menteri hanyalah satu malapetaka kepada pembangkang saja.
“Saya tak cakap dia nyanyuk, penyakit tua ini menyebabkan beliau kadang-kala teringat dan mengimbas sejarahnya ketika menjadi perdana menteri.
“Saya takut Mahathir mempunyai pemikiran seperti orang tua-tua, suka mengimbas zaman kegemilangannya dahulu sedangkan orang tidak nyayi lagu-lagu lama dia lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.
Disember lepas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima cadangan Pakatan Harapan untuk menamakan Mahathir dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara.
Bagaimanapun perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR itu pada 19 Disember lalu meletakkan beberapa syarat utama.
Antaranya membebaskan ketua umumnya, Anwar Ibrahim dan dilantik perdana menteri baharu dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa Kerajaan Persekutuan daripada Barisan Nasional.
Mohd Razlan berkata, tindakan Mahathir mengukit semula certia lama dengan mengkafirkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pengikut BN tidak wajar dimainkan semula.
“Mahathir menggunakan isu penuh kontorversi itu dengan harapan untuk mempengaruhi orang ramai. Abdul Hadi sudah menjawab perkara ini di dalam bukunya lebih 10 tahun lepas.
“Mahathir banyak bawa perkara yang amat negatif kepada masyarakat di mana ia telah dibersihkan daripada pemikiran rakyat sebab kita sudah moden,” tegasnya.
Katanya, kebebasan bersuara di era pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak lebih baik daripada zaman Mahathir sendiri.
“Kebebasan berbicara itu mesti dengan fakta, bukannya auta semata-mata. Tak dinafikan zaman Mahathir dulu dia boleh auta dan menggunakan media cetak dan elektronik untuk mempengaruhi rakyat, tapi hari ini lain.
“Hari ini apa yang Mahathir cakap orang boleh pertikai, apa yang Datuk Seri Najib cakap orang boleh bahas balik di laman sosial.
“Ini Mahathir terlupa, dia ingat dia masih duduk dalam zaman batu dia, masih ingat dia masih duduk dalam zaman dia berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette.