KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dianggap telah membuat keputusan salah apabila mencalonkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sekiranya pembangkang menang dalam PRU-14.
Malah, pengumuman itu turut dilihat sebagai satu langkah terkebelakang apabila calon pembangkang yang merupakan negarawan itu kembali menjadi politikus yang over supply di Malaysia, kata Pengasas Pemuda Keadilan, Mohamad Ezam Mohd. Nor.
“Negara tidak ramai negarawan. Yang ada pula jarang jarang bersuara membela negara dan melawan musuh negara seperti yang dilakukan Tun M.
“Makanya Tun M kembali menjadi politikus seperti yang lain, menjadi calon dan bergelumang dengan undi disetiap peti undi adalah satu kerugian buat negara.
“Tun M terus fokus menjaga peti negara, kunci khazanah Malaysia bukannya bergelut dengan perkiraan peti undi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohamad Ezam hairan bagaimana pimpinan PH boleh membiarkan perkara ini berlaku hingga menidakkan hak tokoh-tokoh muda untuk menduduki kerusi itu.
“Mereka takut tokoh-tokoh muda ini kalau diberi peluang menjadi kepala perang akan menutup peluang mereka dikemudian hari.
“Sekiranya ini benar berlaku ianya adalah satu perbuatan yang bukan sahaja bodoh tapi khianat kepada perjuangan rakyat,” ujarnya.
Dalam pada masa sama, Mohamad Ezam menegaskan, PH tidak ketandusan pemimpin muda apabila mempunyai calon yang mampu menggalas perjuangan untuk bertempur dengan Barisan Nasional.
“Amat malang, disaat negara-negara lain di rantau dan dunia memberikan peluang dan menjulang tokoh muda, putera dan puteri terbaik negara mereka, kita masih ditakuk lama.
“Bukan kerana kita tidak ada tokoh muda yang handal dan kental tetapi kerana permainan politik sempit beberapa kerat yang takut hilang kuasa,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette