Home Politik Lantik Tun M, Wan Azizah ‘baik’ untuk Malaysia – Jamal

Lantik Tun M, Wan Azizah ‘baik’ untuk Malaysia – Jamal

Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos
KUALA LUMPUR – Di sebalik keputusan Pakatan Harapan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, rata-rata ramai pemimpin Barisan Nasional dan UMNO membidas tindakan itu.

Bagaimanapun berlainan pula bagi Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini yang merakamkan ucapan tahniah beliau terhadap Mahathir dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di atas pelantikan itu.

Malah Jamal yang kini masih berada di tanah suci Makkah kerana menunaikan ibadah umrah bersama keluarganya masih mengikuti perkembangan semasa politik tanahair sambil menyifatkan pemilihan itu ‘tepat’ dan ‘baik’ untuk negara.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka berdua, ini adalah satu pilihan yang cukup tepat dan baik untuk negara Malaysia.

“Bukan sahaja ucapan tahniah daripada saya tetapi saya sangat bersetuju dan menyokong penuh keputusan yang telah mereka buat,” katanya menerusi rakaman panggilan telefon di aplikasi Whatsapp, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman itu ketika Konvensyen Pakatan Harapan ke-2 semalam yang menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

Konvensyen Pakatan Harapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada Ahad turut mengumumkan pembahagian kerusi Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PPRU14).

Antara keputusan pembahagian kerusi Parlimen itu menyaksikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memperoleh paling banyak iaitu 52 kerusi disusuli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebanyak 51 kerusi, DAP sebanyak 35 kerusi dan Parti Amanah Negara (PAN) sebanyak 27 kerusi. – MalaysiaGazette