KUALA LUMPUR – Agak memualkan apabila menyaksikan pergaduhan antara dua pengacara, Ifa Raziah dan Roslan Shah sejak dua tiga hari ini di laman sosial.
Masing-masing tidak mahu kalah untuk menyalahkan antara satu sama lain. Kau kata aku, aku kata kau ibaratnya macam itulah.
Lebih memalukan, siap buat ‘live’ di laman-laman sosial sampai terkeluar bahasa-bahasa kesat yang tidak sepatutnya didengar.
Semalam, pergaduhan mereka macam tiada kesudahan. Padahal sebelum baik sangat.
Ifa menerusi akaun laman Facebook dan Instagram miliknya membuat luahan berhubung rasa tidak puas hatinya terhadap Roslan iaitu kawan yang dipercayainya selama ini.
Ifa berasa kesal dengan perbuatan selebriti kelahiran Singapura yang didakwa suka melaga-lagakan rakan artis, memaki hamun dan mengata orang terutama artis-artis, dengan nama-nama yang menjengkilkan.
“Semua yang berlaku tercetus susulan kes sumpah laknat SA, yang juga akibat perbuatan RS. Saya begitu terkilan dengan perbuatan RS yang suka melaga-lagakan rakan artis, memaki hamun dan mengata orang terutama artis-artis, dengan nama-nama yang menjengkilkan. Saya sendiri pernah digelarkan Artis Propa dan Artis Plastik beberapa kali oleh RS,” kata Ifa.
Bagaimanapun kata Ifa, dia tidak menyimpan dendam dengan Roslan kerana mengetahui perangai sebenar individu itu.
Namun Ifa juga kesal kerana selebriti terbabit dikatakan bukan hanya melemparkan fitnah kepadanya sahaja, tetapi turut mengeluarkan kata-kata yang negatif terhadap anak lelakinya.
“Sebenarnya apa yang dikatakan oleh RS kebanyakkannya adalah fitnah. Saya tidak terkesan pun, cuma saya pelik memikirkan apa motif RS untuk membuka kisah-kisah lama sebelum saya kenal dengan suami saya.
“Suami saya kenal RS sejak dia mula ingin menapak di Malaysia. RS pula mengenali anak-anak saya, kakak sejak umur dua tahun dan anak kedua, Aqili sejak dilahirkan lagi. Tergamak dia mengatakan ‘Aqili pun dah macam pondan aku tengok’, dan ‘aku doakan Aqili jadi pondan bila besar nanti’.
“Itulah kata-kata yang lebih berbisa dari tuduhan yang dilemparkan pada saya. Aqili dan kakak sangat terkilan dan sangat sedih dengan tindakan RS yang mereka kenal dan hormat sejak lahir,” tuturnya.
Ifa dan dan Roslan sebelum ini merupakan sahabat baik yang telah saling mengenali lebih 20 tahun. – MalaysiaGazette