Home Politik Tun M boleh ditendang keluar macam Mugabe

Tun M boleh ditendang keluar macam Mugabe

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bercakap kepada media pada Majlis Menandatangani Perjanjian Rasmi antara syarikat pemaju pelancongan, Yong Tai Berhad dengan beberapa syarikat lain di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Nasib Robert Mugabe yang dihalau keluar dari Zimbabwe boleh terjadi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya beliau masih mahu meneruskan cita-citanya menjadi perdana menteri ke-7.

Demikian tegas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sambil berkata, jika negara yang jauh ke belakang itu boleh bertindak sedemikian, apatah lagi Malaysia kini lebih maju dan terbuka.

“Bila kita bandingkan Zimbabwe dengan Malaysia, mereka jauh ketinggalan dalam semua perkara. Adakah ia mengarut (tendang keluar), Malaysia jauh ke hadapan dan merdeka lebih dari 60 tahun,

“Apa reformasi yang cuba dibawa (Mahathir) bila kawan seusianya boleh ditendang dari negara sendiri.

“(Tapi Pakatan Harapan) dengan bangga jika mereka menang, perdana menteri adalah Dr Mahathir Mohamad, apa yang baharu? Ia mengarut, sesuatu tindakan yang bodoh dan regresif,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu Mohamed Nazri bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong menghadiri Majlis Menandatangai Perjanjian Rasmi antara syarikat pemaju pelancongan, Yong Tai Berhad dengan beberapa syarikat lain dalam projek Encore Melaka di Hotel Mandarin Oriental, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Pakatan Harapan semalam yang menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

Pengumuman itu dibuat sempena Konvensyen Pakatan Harapan ke-2 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam yang turut mengumumkan pembahagian kerusi Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PPRU14).

Antara keputusan pembahagian kerusi Parlimen itu menyaksikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memperoleh paling banyak iaitu 52 kerusi, disusuli Parti Keadilan Rakyat (PKR)-51, DAP-35 dan Parti Amanah Negara (PAN)-27.

Mohamed Nazri juga mempersoalkan calon perdana menteri yang diketengahkan pembangkang itu susulan Mahathir sudah berusia dan rakyat Malaysia memerlukan muka-muka baharu untuk menerajui negara.

“Kita negara jauh kedepan dari Zimbabwe tapi mahu mengetengahkan lelaki berusia 93 tahun, apa masa depan yang ada? Dia sudah 93 tahun, tiada masa depan.

“Mereka sendiri tidak bersetuju (Mahathir calon PM), saya jangka Azmin Ali adalah pilihan lebih baik sekurang-kurangnya wajah baharu, muda, tapi sesama mereka pun mereka bergaduh takĀ  setuju malah Wan Azizah sendiri tak setuju,” katanya.

Beliau turut menggesa Mahathir menjadi seorang pelawak kerana tindakan serta banyak kenyataan beliau tidak konsisten dan menjadi bahan jenaka kepada rakyat.

“Apa pengalaman Mahathir ada? Sebelum ini cakap lain, sekarang cakap lain

“Dia kata kalau dia jadi perdana menteri, dia akan pastikan kebebasan bersuara. Apa jenis lawak ini.

“Saya minta dia jadi ‘Stand Up Comedian’ kerana dia buat ramai orang ketawa,” katanya. – MalaysiaGazette