Home Politik Anwar bukan lagi anugerah tuhan

Anwar bukan lagi anugerah tuhan

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail didakwa hilang prinsip dan kepercayaaan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ‘merestui’ pelantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao berkata, ia jelas bertentangan dengan kenyataan Wan Azizah sebelum ini yang menyifatkan Anwar sebagai anugerah tuhan namun kini meminggirkannya daripada jawatan itu.

“Mohon Kak Wan jawab, Mahathir anugerah tuhan atau apa? Dulu Wan Azizah kata Anwar anugerah tuhan dan hanya Anwar yang layak jadi perdana menteri.

“Kini sudah bertukar, Wan Azizah dikatakan setuju untuk Mahathir jadi perdana menteri secara tidak langsung hilang prinsip bahawa hanya suaminya yang layak jadi perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 27 November 2010, Wan Azizah menyifatkan suaminya, Anwar adalah anugerah tuhan untuk mengembalikan keyakinan ahli PKR yang semakin terhakis ketika itu.

Bagaimanapun Mahathir diumumkan sebagai calon perdana menteri dan bukannya Anwar semasa Konvensyen Pakatan Harapan ke-2 pada Ahad lalu sekiranya pembangkang memenangi PRU14.

Ramesh juga berkata, tindakan Wan Azizah juga boleh mengelirukan rakyat sedang beliau sendiri menyokong gerakan reformasi pada 1998 untuk menjatuhkan Mahathir selepas suaminya dipecat dari Kabinet.

“Apa Dr Wan Azizah hendak jawab kepada pejuang reformasi yang setia sejak 1998 melaungkan nama Anwar, hadir ke perhimpunan haram sampai dikejar pihak berkuasa kemudian ditangkap, ada pula sebahagian ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang masih dikuatkuasakan pada masa itu.

“Sebab itu saya minta beliau jawab, kerana tindakan ini amat luar biasa untuk Wan Azizah menerima Mahathir yang cukup dibenci oleh suaminya dulu, tapi kini sudah direstui secara terbuka untuk jadi perdana menteri,” katanya.- MalaysiaGazette