Home Politik DAP pengkhianat bila angkat bekas musuh pimpin PH

DAP pengkhianat bila angkat bekas musuh pimpin PH

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berucap pada Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi MCA School of Political Studies di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – DAP sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggadai prinsip parti dan sokongan masyarakat Cina pada pilihan raya umum lalu dengan menerima serta melantik bekas musuh politiknya sebagai calon perdana menteri.

Ujar Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, tindakan DAP jelas menunjukkan parti cauvanis itu tidak mempunyai pendirian lagi hingga boleh menerima Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memimpin Pakatan Harapan.
“Biar rakyat tahu kebenaran dan wajah sebenar DAP, kini bekerjasama dengan Mahathir, kita tahu DAP juga pernah bekerja dengan Abdul Hadi. DAP boleh berkompromi dengan prinsip mereka, pendirian moral.

“DAP guna apa juga taktik untuk mencapai kekuasaan. Itulah DAP tanpa prinsip, parti tanpa pendirian jelas dalam memperjuangkan negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Laman Web MCA School of Political Studies di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai diiringi Naib Presiden MCA, Datuk Chew Mei Fun (dua kiri) melakukan gimik pelancaran Laman Web Rasmi MCA School of Political Studies pada majlis pelancaran laman web tersebut di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 JANUARI 2018.

Beliau mengulas Konvensyen Pakatan Harapan ke-2 pada Ahad yang mengumumkan pelantikan Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri sekiranya PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tiong Lai berkata, menerusi laman web Sekolah Pengajian Politik MCA itu, rakyat boleh mendapat maklumat yang betul sekali gus dapat mengenali wajah sebenar pemimpin DAP yang kini dikuasai anak-beranak Lim Kit Siang.

“Ada banyak berita palsu di luar sana, kita tak mahu orang ramai ambil berita palsu. Kita mahu mereka pergi ke portal rasmi MCA untuk mendapatkan berita yang betul,” jelasnya.

Beliau berkata lagi, langkah PH mengitar semula bekas perdana menteri itu satu pengkhianatan bukan sahaja ahli-ahli DAP bahkan pengundi Cina yang memberi sokongan pada PRU13.

“DAP bukan perjuang hak rakyat tapi lebih kepada kepentingan peribadi. Lim Kit Siang sudah tidak peduli hati dan perasaan rakyat, apa yang penting ialah kepentingan peribadi.

“Bukan sahaja orang Cina sahaja dikhianati, bahkan ahli parti mereka sendiri juga berasa dikhianati,” katanya. – MalaysiaGazette