Home Nasional Indeks jenayah di Kuching menurun

Indeks jenayah di Kuching menurun

KUCHING – Indeks jenayah di Kuching mencatatkan penurunan kepada 1,554 kes sepanjang tahun lepas berbanding 1,610 kes pada tahun sebelumya, kata Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Superintendan Abang Ahmad Abang Julai.

Beliau berkata, pada masa sama tahap keselamatan bandaraya dilihat terus mendapat kepercayaan ramai apabila kajian dijalankan Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini mendapati 86 peratus responden mengatakan bandaraya Kuching amat selamat untuk dilawati.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil dedikasi dan komitmen tinggi ditunjukkan oleh anggota pasukan keselamatan bandaraya dalam usaha berterusan memerangi jenayah, bagi memastikan keamanan dapat dinikmati bersama.

“Meskipun kajian tersebut menunjukkan peratusan yang positif, namun polis tetap akan terus berusaha keras untuk menjadikan bandaraya ini bebas jenayah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah di Padang kawad Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching di sini, hari ini.

Abang Ahmad berkata, pasukan polis tidak boleh cepat berpuas hati, sebaliknya perlu sentiasa terus berusaha untuk memantapkan kualiti perkhidmatan dengan mengambil pendekatan berkesan dalam membanteras jenayah. – Bernama