KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli sekali lagi didapati menipu secara terang-terangan apabila mendakwa belum menerima surat tuntutan saman daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Ahli Parlimen PKR Pandan itu semalam mendakwa Abdul Rahman tidak menghantar surat saman walaupun sudah tiga minggu berlalu sejak fitnah dilakukannya.
Bagaimanapun, seorang pegawai menteri mengirimkan bukti surat tuntutan saman fitnah itu sebenarnya sudah dihantar kepada Rafizi pada 5 Januari 2018 di Pusat Khidmat Rakyat di Pandan, bagaimanapun beliau tiada di pejabatnya.
Kemudiaan, peguam menghantar surat tersebut menerusi pos dan pegawai Abdul Rahman menunjukkan resit pos ia dihantar kepada Rafizi.
“YB mungkin terlalu sibuk dekat office INVOKE sampai terlupa nak pergi pusat khidmat sendiri,” kata pegawai tersebut.
Abdul Rahman sebelum ini mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung tuduhan Rafizi yang menamakan Raslan Dahlan, sebagai pemilik syarikat yang menganjurkan Ekspo Negaraku, sebagai abang Rahman.
Program yang diadakan di Dataran Merdeka itu bertujuan memaparkan pencapaian kerajaan selama ini. Ia diuruskan PICO Integrated Exhibit Sdn Bhd dan dianjurkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang berada di bawah Abdul Rahman.
Rafizi kemudiannya memohon maaf atas kesilapan itu tetapi berkata ia tidak sepatutnya mengalihkan tumpuan terhadap ekspo selama sebulan itu yang menelan belanja RM37 juta. – MalaysiaGazette