Home Dunia Mesir dijangka adakan pilihan raya akhir Mac

Mesir dijangka adakan pilihan raya akhir Mac

Lasheen Ibrahim

KAHERAH – Mesir dijangka mengadakan pusingan pertama pilihan raya presidennya pada penghujung Mac ini.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pihak Berkuasa Pilihan Raya Negara, Lasheen Ibrahim, apabila memberitahu, pusingan pertama itu akan diadakan pada 26 hingga 28 Mac.

Sementara pusingan kedua bagi pilihan raya itu akan berlangsung pada 24 hingga 26 April, lapor laman portal telegraph.co.uk.

Ibrahim berkata, suruhanjaya itu akan menerima permohonan daripada calon presiden antara 20 dan 29 Januari ini.

“Senarai calon dan bilangan penyokong mereka akan dimaklumkan di akhbar tempatan, al-Ahram serta al-Akhbar pada 31 Januari,” katanya pada sidang media di Kaherah, semalam.

Menurut Ibrahim, senarai akhir calon akan diputuskan dan diumumkan pada 24 Februari depan.

Pengumuman itu akan dibuat sebaik sahaja semua rayuan daripada mana-mana calon yang ditolak diselesaikan.

“Kempen dibenarkan kurang dari sebulan, bermula 24 Februari.

“Rakyat Mesir yang menetap di luar negara boleh menjalankan tanggungjawab anda antara 16 dan 18 Mac,” ujarnya. – MalaysiaGazette