Home Seni Hidup Sekuel Ayat-Ayat Cinta 2 bakal pecah panggung?

Sekuel Ayat-Ayat Cinta 2 bakal pecah panggung?

Pelakon, Fedi Nuril (tengah), Tatjana Saphira (tiga kiri), Dewi Sandra (tiga kanan) dan Bront Palarae (kanan) bergambar kenangan pada Malam Gala Ayat-ayat Cinta 2 di GSC Pavillion, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Pawagam Golden Screen Cinemas di Pavilion gamat semalam dibanjiri lebih 500 tetamu jemputan Antenna Entertainments bagi menjadi penonton terawal filem ‘pecah panggung’ – Ayat-Ayat Cinta 2.
Filem sekuel itu ditayangkan selepas 10 tahun filem pertamanya, Ayat-Ayat Cinta dihasilkan.

Filem yang diadaptasi daripada novel sensasi karya Habiburrahman El Shirazy itu mengekalkan hero asalnya iaitu Fedi Nuril.

Ayat-Ayat Cinta 2 mengisahkan Fahri Abdullah (Fedi Nuril) yang hidup keseorangan di Edinburgh bersama pembantunya, Hulusi (Pandji Pragiwaksono).

Fahri telah kehilangan isterinya, Aisha yang menjadi sukarelawan di Gaza.

Semenjak ketiadaan isterinya, Fahri hidup dalam kesedihan dan sering melakukan kesilapan yang membahayakan dirinya.

Kehidupannya menjadi semakin rumit dengan kehadiran saudara Aisha, Hulya yang menyimpan perasaan terhadap Fahri.
Mampukah Fahri teguh pada cintanya yang agung kepada Aisha atau membuka hatinya untuk menerima cinta agung yang baru?
Filem cinta penuh tragis itu juga dibintangi pelakon Indonesia seperti Tatjana Saphira, Chelsea Islan dan Dewi Sandra telah diserikan juga dengan penampilan khas bintang filem tempatan, Nur Fazura dan Bront Palarae.
Filem Ayat-Ayat Cinta 2 merupakan filem arahan Guntur Soehardjanto yang sebelum ini telah merangkul pelbagai anugerah di Festival Filem Indonesia 2005.

Di Indonesia, filem yang sama telah ditonton lebih dua juta penonton sejak ditayangkan pada 21 Disember 2017.

Filem yang sama akan ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 11 Januari 2018. – MalaysiaGazette