Home Seni Hidup Seniman buat lawatan ke Jakarta

Seniman buat lawatan ke Jakarta

SENIMAN turut bertemu beberapa persatuan seni termasuk stesen televisyen Indonesia antaranya Indosiar dan Net TV.

KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengadakan kunjungan hormat ke Jakarta bertujuan memperkukuh hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur melalui industri kreatif.

Lawatan selama tiga hari itu diadakan di bawah kepimpinan Presidennya, Zed Zaidi bertemu Persatuan Karyawan & Televisi Indonesia, Demi Film Indonesia, Persatuan Produser Filem Indonesia dan beberapa lagi persatuan termasuk beberapa buah stesen televisyen Indonesia antaranya Indosiar dan Net TV.

“Seniman dapat menyampaikan hasrat Malaysia dalam berdepan masalah kemasukan lambakan artis atau pelakon dari Indonesia dengan memperkenalkan jalan penyelesaian.

“Termasuk akta dan perundangan, polisi dan dasar, dokumen, permit, kerjasama produksi, pelaburan dan ekosistem industri kreatif serta mengkukuhkan dasar kerajaan kedua-dua negara untuk menjadikan industri kreatif sebagai hab di rantau ini,” kata persatuan itu  dalam suatu kenyataan di sini hari ini.

Seniman juga menyatakan, lawatan julung kali itu bertujuan mewujudkan pembangunan kerjasama strategik dua hala antara Kuala Lumpur dan Jakarta melalui platfom ‘Diplomasi Budaya’.

“Kunjungan itu juga dibuat bagi memperkenalkan kepada pemain atau pengendali industri kreatif di Indonesia untuk mematuhi syarat untuk menjadi ahli bersekutu Seniman ketika ingin menjalankan sebarang aktiviti seni di Malaysia.

“Selain mematuhi undang-undang mahupun akta serta mereka juga perlu mempunyai permit yang sah sebelum ketibaan mereka di Malaysia,” kata Seniman.

Menurut Seniman, persatuan itu akan memainkan peranan sebagai jambatan kepada mereka dengan agensi kerajaan yang terlibat.

“Seniman juga menjemput mereka untuk membuat kunjungan balas pada bulan Mei akan datang sebagai menghargai jasa mereka atas layanan baik mereka semasa Seniman di Jakarta,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette