Home Politik Calonkan Tun M untuk reformasikan sistem di Malaysia – Izzah

Calonkan Tun M untuk reformasikan sistem di Malaysia – Izzah

Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Pemilihan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) merupakan titik tolak kepada agenda untuk merombak dan mereformasikan sistem pentadbiran di Malaysia.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, agenda reformasi menjadi tekad dan komitmen dalam PH dan pencalonan Dr Mahathir mampu menjadikan hasrat itu sebagai kenyataan.

“Yang kita mahu termasuk Datuk Seri Najib Razak agar mengakui bahawa sistem di Malaysia ini wajib dirombak dan direformasikan.

“Pada saya Alhamdullilah, perkataan reformasi itu kini dijiwai oleh ramai pimpinan termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Itulah agenda utama kita,” katanya ketika ditemui di lobi wad Hospital Rehabilitasi, di Cheras di sini hari ini.

Terdahulu, Izzah menemani Mahathir yang berhasrat untuk bertemu dengan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berada di wad hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan selepas menjalani pembedahan ‘arthroscopic’ pada bahu kanan.

Bagaimanapun, hasrat Pengerusi PPBM itu tidak kesampaian apabila beliau dihalang Jabatan Penjara selepas Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan arahan.

Mengulas mengenai perkara itu, Nurul Izzah mempersoalkan tindakan Jabatan Penjara yang menghalang Mahathir daripada bertemu Anwar meskipun permohonan sudah dibuat awal.

Katanya, penolakan itu amat mengejutkan walaupun wujud perbincangan dengan pihak pengurusan hospital untuk membenarkan Mahathir datang melawat. – MalaysiaGazette